Anugerah Juara Lagu ke-23

Anugerah Juara Lagu ke-23 2008 (AJL 23) adalah sebuah anugerah terbitan TV3 yang bakal mempertandingkan lagu-lagu pencalonan Muzik-muzik yang disaringkan untuk membariskan 14 buah lagu terbaik ciptaan penggubah Malaysia pada tahun 2008 sebelum dinobatkan sebagai "Juara Lagu" yang ke-23. Lagu-lagu yang dibawa ke peringkat akhir ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock. Malam anugerah gilang-gemilang ini diadakan pada 18 Januari 2009 di Stadium Putra Bukit Jalil pada jam 9 malam dan seperti biasa, dibawakan secara langsung melalui penyiar rasmi TV3. Tema Anugerah Juara Lagu 2008 ialah "Illuminasi Muzik". Pengacara yang mengendalikan malam anugerah ini ialah Faizal Ismail, Ally Iskandar dan Cheryl Samad."Lagu Untukmu" ciptaan dan dendangan kumpulan Meet Uncle Hussain dinobatkan sebagai Juara Lagu ke-23. Di samping itu, Faizal Tahir melakukan hatrik pada malam yang sama iaitu menggondol anugerah Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Kategori Balada untuk persembahan lagu Sampai Syurga.